TUJUAN
Manual ini disediakan sebagai rujukan kepada warga kerja Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan dalam melaksanakan prinsip UMI iaitu Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan. Melalui manual ini juga diperjelaskan tentang latar belakang prinsip UMI, konsep, pembentukan jawatankuasa, tatacara pengauditan untuk mengkaji keberkesanan pelaksanaan UMI serta syarat-syarat kelayakan untuk mendapat pensijilan UMI.
LATAR BELAKANG
Slogan ‘Membangun Bersama Islam’ telah menjadi dasar pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Negeri Kelantan berasaskan kepada prinsip UMI, iaitu Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan. Ia bermula dengan penerangan tentang setiap prinsip tersebut dan seterusnya analisis tentang epistemologi dan tasawwur prinsip-prinsip tersebut.
Melalui dasar ‘Membangun Bersama Islam’ ini, Kerajaan Negeri Kelantan banyak memperkenalkan program Islamisasi dalam pentadbiran dan pemerintahan. Di antara program, prinsip dan teras pemerintahan, terdapat tiga prinsip yang sangat penting yang dijadikan teras pemerintahan iaitu Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan.
Ketiga-tiga prinsip ini sentiasa disebut dan diterapkan kepada semua penjawat awam kerajaan negeri secara khususnya dan kepada seluruh rakyat Kelantan secara amnya. Kebiasaannya, Mantan Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat serta pegawai tertinggi negeri yang lain akan sentiasa menyebut prinsip UMI ini apabila bercakap mengenai pentadbiran negeri.
KONSEP
UBUDIYYAH
Prinsip ini menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah. Maka setiap perbuatan dan pekerjaan seharian manusia hendaklah selari dengan syariat yang diturunkan oleh Allah. Ia berasaskan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Di mana setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah diniatkan sebagai ibadah. Justeru, tujuan ibadah itu sendiri merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk tingkah laku dalam pekerjaan sama ada perbuatan, perkataan dan gerak hati (niat) yang diredhai Allah. Oleh itu, kecemerlangan dan kejayaan dalam kerjaya dan juga kehidupan ini sangat berkait rapat dengan sejauhmana kita melakukan pekerjaan itu dengan sebaik mungkin kerana Allah SWT.
MASULIYYAH
Masuliyyah pula prinsip berkaitan integriti dan tanggungjawab. Setiap perbuatan dan pekerjaan manusia adalah berkaitan dengan agama dan melibatkan soal dosa dan pahala.Ia akan dinilai dan diadili di akhirat kelak. Prinsip ini menekankan soal pelaksanaan tugas dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti.
ITQAN
Itqan ialah prinsip yang menekankan kepada akhlak dan amalan soleh. Setiap manusia perlu bersungguh-sungguh, tekun dan memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas. Ini akan melahirkan kualiti kerja yang baik dan cemerlang. Ia juga melibatkan soal keikhlasan atau mutu kerja di mana dari ajaran Islam inilah yang akan menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat.
VISI
Melahirkan warga kerja Perbadanan yang cemerlang dunia dan akhirat
MISI
Prinsip Ubudiyyah, Masuliyyah & Itqan (UMI) sebagai garis panduan amalan warga kerja yang bertanggungjawab dan berintegriti
PERANAN
Mengaplikasikan prinsip-prinsip Ubudiyyah, Masuliyyah & Itqan (UMI) dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab seharian