Program Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan dilancar dan disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar pada 26 Januari 2006. Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan telah ditubuhkan melalui Enakmen No.2 Tahun 2006 setelah diluluskan oleh Dewan Negeri pada 20hb. dan 21hb. Februari 2006.
Dikenali sebagai Unit Khas Ladang Rakyat pada 01 Januari 2006 dengan seorang Pengurus tanpa kakitangan sokongan. Kini, Perbadanan telah dapat memiliki bangunan tiga tingkat sendiri bernilai lebih RM1 juta dalam Zon Komersial Wakaf Che Yeh, Kota Bharu dengan tenaga sumber manusia seramai 23 orang.

Visi
- Meningkatkan sosio-ekonomi Negeri dan taraf hidup penduduk
- Menggalakkan, memudahkan dan membuat kerja pembangunan tanah dalam dan luar negeri
- Membuat semua perkara dan benda lain yang dikehendaki bagi menjalankan atau menyempurnakan semua atau mana-mana pekerjaan dan tugas Perbadanan
Misi
Mengurangkan kadar kemiskinan rakyat Negeri Kelantan melalui sektor perladangan

Strategi Perbadanan
- Mengurangkan peratusan kemiskinan dari kalangan penduduk Negeri Kelantan dengan menjadikan mereka sebagai Peserta dan Penerima Dividen Bulanan.
- Meningkatkan taraf hidup rakyat Negeri Kelantan yang lain melalui peluang pekerjaan yang berkaitan dengan ladang rakyat, peluang perniagaan dari aktiviti huluan pra-perladangan dan aktiviti hiliran pasca-perladangan dan melalui perkhidmatan sokongan lain.
- Meningkatkan ekonomi Negeri Kelantan menerusi peningkatan sumber sektor pertanian.
- Membendung masalah penerokaan Tanah Kerajaan secara tidak sah.
Pejabat Lama Awal Penubuhan pada tahun 2006
Pejabat Perbadanan di JKR 273-N, Jalan Raja Dewa, Kota Bharu
Pejabat Terkini
Pejabat Perbadanan di Bangunan Ladang Rakyat, Zon Komersial Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.
AKAUN AMANAH PESERTA LADANG RAKYAT KERAJAAN NEGERI KELANTAN
Akaun Amanah ini adalah bertujuan untuk menerima sumbangan yang ditetapkan hasil daripada pengusahaan program Ladang Rakyat Negeri Kelantan untuk dibahagikan sumbangan tersebut kepada orang-orang miskin di Negeri Kelantan dan Peserta-peserta Program Ladang Rakyat. Akaun Amanah ini diaudit oleh Ketua Audit Negara bagi memastikan ketelusannya.
AKAUN AMANAH DAKWAH ISLAMIYAH KELANTAN
Akaun ini adalah bertujuan untuk mengumpulkan dana daripada pemajuan bagi pengembangan dakwah Islamiyah untuk pelbagai masyarakat di Kelantan. Akaun Amanah ini juga diaudit oleh Ketua Audit Negara bagi memastikan ketelusannya.
TABUNG KHAIRAT KEMATIAN
Skim Takaful Hayat Berkelompok disertai oleh Peserta-peserta yang berumur di bawah 60 tahun dengan caruman tahunan. Skim perlindungan ini telah bermula pada tahun 2009 dan banyak membantu Peserta atau waris Peserta yang meninggal dunia dengan amaun yang dibayar meningkat dari semasa ke semasa dari RM7,000 (manfaat tahun 2009) ke RM15,000.00 (amaun manfaat pada tahun 2018) kepada setiap seorang waris Peserta yang meninggal dunia.
Mulai tahun 2019, program khairat ini diuruskan sendiri oleh pengurusan Perbadanan melalui Tabung Khairat Kematian Peserta Program Ladang Rakyat dengan caruman tahunan sebanyak RM50.00 seorang Peserta dan manfaat khairat yang disumbangkan ialah RM5,000.00 kepada setiap wasi peserta yang meninggal dunia.
